PERMATA HATI BONDA

Monday 9 January 2012

Beruntungnya KITA



Zaid bin Aslam telah melaporkan daripada bapanya dan daripada beberapa sahabat Rasulullah SAW, katanya:
Golongan hamba Allah yang paling dicintai oleh Allah selepas para Nabi dan para Syuhada ialah para guru, dan tiada suatu tempat di dunia ini yang paling dicintai oleh Allah selepas masjid yang di dalamnya dibacakan Al-Quran.

Daripada Ibrahim An-Nakhie, katanya:
Guru yang mengajar kanak-kanak dimohon keampunan oleh para malaikat di langit, haiwan di bumi, burung-burung di udara dan ikan-ikan di laut.

Dan dikatakan bahawa jika seseorang kanak-kanak diajarkan Al-Quran dan belajar membaca Bismillahir Rahmanir Rahim, Allah akan mengampunkan tiga orang iaitu bapanya, ibunya dan gurunya.

Abu Said Al-Khudri telah berkata:
Sesiapa yang mengajarkan Al-Quran kepada anak lelaki atau anak perempuannya, setiap dirham yang diberikan kepada gurunya itu diumpamakan seberat bukit Uhud.

Apabila seorang kanak-kanak keluar dari rumahnya untuk belajar Al-Quran, maka bertambahlah kebaikan dalam rumah ibubapanya itu dan berkuranglah keburukan dalamnya serta syaitan akan lari dari rumahnya.

Hasan Al-Basri telah berkata:
Sesiapa yang mengajarkan anaknya Al-Quran, maka Allah akan memakaikan kepadanya pada hari Kiamat kelak dengan tiga jenis pakaian dari syurga yang lebih baik dari dunia dan segala isinya di mana manusia lain (pada ketika itu) berada dalam keadaan telanjang serta Allah akan menambahkan kedudukannya bagi setiap huruf Al-Quran yang diajarkannya.

Abu Abdul Rahman As-Sulami telah melaporkan daripada Uthman bin Affan RA, katanya: bahawasanya Rasulullah SAW telah berkata:
Sebaik-baik kamu ialah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.

Berkata Abu Badul Rahman: Dengan sebab hadis ini aku duduk dalam majlis ini bagi mengajar orang lain. Beliau juga menjadi guru kepada Hasan dan Husin (cucu Nabi SAW, semoga mereka dirahmati Allah).

Ad-Dahak telah melaporkan daripada Ibnu Abbas daripada Nabi SAW bahawasanya baginda telah berkata semasa Haji Wida’:
Ya Allah, ampunilah para guru dan panjangkanlah umur mereka dan berkatilah usaha dan kehidupan mereka.

Anas bin Malik telah melaporkan dalam hadis yang lain bahawasanya Nabi SAW telah berkata:
Ya Allah, berilah kekayaan kepada para ulama dan fakirkanlah para guru.

Al-Faqih berkata: Yang dimaksudkan dengan kata baginda “fakirkanlah para guru” ialah janganlah engkau perbanyakkan harta mereka kerana dengan sebab banyaknya harta, mereka akan meninggalkan tugas mengajar mereka.

Ulasan:
Pada masa ini saya tidak dapat memastikan status dan kedudukan hadis-hadis dan kata-kata para sahabat dan tabiin (pengikut mereka) yang ditulis dalam buku ini kerana ianya bukan edisi cetakan yang disemak status dan kedudukan hadis-hadisnya oleh para pakar hadis.

Walau bagaimanapun, apa yang penting ialah banyak kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah kepada para guru dan pendidik kerana tugas mereka yang sangat mulia.

Kelebihan-kelebihan yang dinyatakan bukan sekadar merujuk kepada guru dan pendidik yang mengajar Al-Quran atau ilmu agama sahaja, malah semua guru dan pendidik yang mengajar ilmu-ilmu yang bermanfaat tidak kira dalam bidang apa sekalipun. Ini boleh kita lihat dalam banyak hadis lain yang tidak disebutkan dalam buku tersebut tetapi telah disebutkan dalam pelbagai buku hadis yang masyhur (kita akan lihat dalam tulisan yang lain Insya-Allah).

Akan tetapi, guru yang mengajar Al-Quran mempunyai kelebihan tersendiri kerana telah dinyatakan secara khusus oleh Nabi SAW.

Kelebihan dan keistimewaan yang dinyatakan bukan sekadar hiasan semata-mata, tetapi para guru dan pendidik mestilah memastikan niat mereka ikhlas dan betul, menjalankan kewajipan mereka dengan sebaik-baiknya dan tidak lari dari konsep dan matlamat pendidikan ke arah melahirkan manusia yang berilmu dan patuh kepada Allah.

Sekian, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

[1] Al-Faqih: Merujuk kepada gelaran yang diberikan kepada Abu Laith Nasr bin Muhammad bin Ahmad bin Ibrahim As-Samarqandi Al-Hanafi (373H).
[2] Lihat: As-Samarqandi, Abu Laith (373H), Bustaanul Arifin, 416-417, Beirut: Muassasah Al-Kutub At-Thaqafiyah (1997).

Dipetik dari http://mendidik.blogspot.com

Sunday 8 January 2012

Nasihatilah Manusia Walaupun Engkau Seorang Pendosa

Mungkin ada sebahagian orang yang tidak tergerak hatinya untuk menasihati manusia, kerana ia merasa banyak melakukan dosa dan tidak layak untuk mengucapkan ucapan kebaikan kepada sesama manusia.

Pandangan seperti itu adalah keliru dan bahayanya sangat besar, serta akan membuat syaitan gembira. Betapa tidak, kerana jika mesti menunggu sampai seseorang bersih dari dosa baru ia layak menasihati manusia, maka tidak ada seorangpun di muka bumi yang layak memberi nasihat setelah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam tercinta.

Sebagaimana dikatakan seorang penyair:

إذا لم يعظ في الناس من هو مذنب
فمن يعظ العاصين بعد محمد

“Apabila seorang pendosa itu tidak menasihati manusia,
Maka siapakah yang akan menasihati orang-orang yang berdosa setelah Nabi Muhammad kita”.

Sa’id bin Jubair berkata: “Apabila seseorang tidak memerintahkan kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari yang munkar, hingga ia menunggu dirinya bebas dari kesalahan, maka tidak akan ada seorangpun yang memerintahkan kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari yang munkar”.

Imam Malik setelah mendengar perkataan Sa’id bin Jubair berkata: “Benar apa yang dikatakan Sa’id. Siapakah yang tidak memiliki sedikitpun dosa dalam dirinya?”.

Al-Hasan berkata kepada Mutharrif bin ‘Abdillah: “Berilah nasihat kepada sahabat-sahabatmu”. Mutharrif menjawab: “Sesungguhnya aku takut mengatakan apa yang tidak aku kerjakan”.

Al-Hasan berkata lagi: “Semoga Allah merahmati dirimu. Tidak ada seorangpun di antara kita yang melakukan semua yang diperintahkan Allah. Syaitan akan gembira apabila kita berfikir seperti itu sehingga tidak ada seorangpun yang memerintah kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari kemungkaran”.

Berkata Ibnu Hazm: “Apabila orang yang mencegah dari perbuatan keji mesti orang yang tidak memiliki kesalahan, dan orang yang memerintah kepada kebaikan mesti orang yang selalu mengerjakan kebajikan, maka tidak ada seorangpun yang mencegah dari yang mungkar dan tidak ada seorang pun yang mengajak kepada kebaikan setelah Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam.”

(Semua nukilan diatas dapat ditemukan dalam kitab al-Jami’ li Ahkamil Quran: 1/367, al-Qurtubi).

Imam Nawawi berkata:
“Para ulama menyatakan bahawa tidak disyaratkan pada orang yang memerintah kepada kebaikan atau orang yang mencegah dari kemungkaran untuk mencapai kesempurnaan dalam segala hal. Tapi, ia mesti tetap mengajak kepada kebaikan walaupun ia memiliki kekurangan dalam hal yang ia ajak kepadanya, dan ia tetap mencegah kemungkaran walau ia terkadang mengerjakan apa yang ia cegah. Kerana sesungguhnya wajib pada dirinya dua perkara iaitu : mengajak dirinya sendiri ke arah kebaikan dan mencegah dari kemungkaran; dan mengajak orang lain ke arah kepada kebaikan dan mencegah mereka dari yang mungkar. Tidak boleh ia melalaikan salah satu dari dua perkara tersebut”.
(Syarah Sahih Muslim: 2/23, An-Nawawi).

Semoga kita termasuk orang-orang yang selalu saling menasihati dalam kebaikan.